“Selepas empat tahun menyanyi, akhirnya saya boleh melakukan sesuatu yang tiada kaitan dengan nyanyian. Saya sangggup tinggalkan negara, keluarga dan kerja untuk membantu orang yang memerlukannya,” luah Faizal Tahir, membuka cerita mengenai lawatannya ke kem-kem pelarian Palestin di Lubnan pada 12 Ogos lalu.
“Saya gembira dapat terlibat sama kerana akhirnya, hiburan boleh dikaitkan dengan kempen sebegini dan dikatakan satu senjata yang berkuasa. Inilah kuasa hiburan dan saya berhasrat menggunakannya untuk meminta rakyat Malaysia menolong pelarian Palestin.”
Pemergian enam harinya itu disertai pertubuhan bukan kerajaan, Aqsa Syarif (dimana ayahnya, Dr Mohd Tahir Abd Rahman merupakan ketua pegawai eksekutif) dan kru TV3, yang telah merakamkan tiga episod khas ‘Bersamamu: Bebaskan Bumi Palestin’, dijadualkan untuk siaran pada 25 Ogos, 1 September dan 8 September, jam 9.30 malam.
Menurut Faizal yang ditemui pagi semalam, bila peluang ke Lubnan ditawarkan kepadanya, tidak timbul sebarang keraguan atau perasaan takut. Sebaliknya, dia yang pernah meluahkan hasrat untuk mati syahid, mendedahkan keterujaannya untuk ke sana. Malah perancangannya selepas ini adalah untuk ke Gaza, Palestin pula.
Bergelar duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin sejak Jun lalu, Faizal memberitahu, dalam banyak-banyak tawaran duta yang diterima, penghargaan yang diberikan TV3 itu yang paling membanggakan dirinya. Jelasnya, pelantikan itu membawa tanggungjawab yang besar, untuk membuka mata dan hati rakyat Malaysia kepada masyarakat di luar sana yang memerlukan perhatian.
“Walaupun saya seorang Islam dan isu yang disentuh adalah Palestin, penting untuk kita tekankan bahawa ini bukan saja isu mengenai orang-orang Islam tetapi isu kemanusiaan. Apa yang berlaku di Palestin sudah berlarutan untuk 62 tahun. Dan kita tidak sepatutnya tunggu sehingga ada isu baru buat kempen dan bersemangat untuk sebulan saja. Kita perlu bukakan mata masyarakat bahawa perkara ini masih berlanjutan.”
Bersyukur atas apa yang ada
Menceritakan kenangannya menjejakkan kaki buat kali pertama di kem pelarian, Faizal berkongsi yang dirinya diselubungi perasaan sebak. Tetapi disebabkan kehadiran kamera, terpaksa ditahan emosinya. Namun katanya, sesiapa yang ke sana pasti akan tersentuh jiwa mereka.
“Perkara pertama yang terlintas di fikiran, ‘Ya Allah, selama ini aku fikirkan diri aku banyak masalah tetapi sebenarnya, masalah itu tidak sebesar manapun.’ Buat mereka yang susah bersyukur dan merasakan hidup mereka dibebani masalah, mereka patut ke sana agar mereka tahu betapa bertuahnya mereka.”
Menyentuh tentang kehidupan pelarian Palestin di sana, keadaan di kem sarat dengan pelarian yang jumlahnya bertambah setiap tahun. Kem-kem pelarian yang dilawati walaupun tidaklah kecil tetapi ketika ditubuhkan, hanya bertujuan untuk menampung 5 ribu orang tetapi kini, jumlah itu sudah meningkat empat kali ganda kepada lebih daripada 20 ribu.
Memburukkan lagi keadaan, disebabkan tiadanya sistem saliran dan pendawaian, sudah menjadi satu pemandangan biasa untuk melihat gumpalan wayar dan paip berseliran dari bangunan ke bangunan. Akibatnya, setiap tahun kanak-kanak meninggal dari kejutan elektrik.
Kebanyakkan pelarian Palestin, dedah Faizal, merupakan lepasan universiti dalam jurusan kejuruteraan dan perubatan, tetapi tidak mendapat peluang pekerjaan. Ini kerana mereka tidak dibenarkan bekerja dalam 70 bidang kerjaya yang disenaraikan kerajaan Lubnan, sebagai langkah menjaga hak penduduk tempatan. Namun baru-baru ini, parlimen Lubnan telah meluluskan cadangan untuk membatalkan larangan tersebut.
Rancang tubuh pusat pendidikan
Sudah melihat dengan mata sendiri keadaan pelarian Palestin di sana, Faizal berkongsi terdapat dua perkara yang menjadi kebimbingannya – perubatan dan pendidikan.
Katanya, di dalam 14 kem pelarian Palestin di Lubnan, hanya satu kem sahaja yang mempunyai perkhidmatan klinik. Lebih membimbangkan, penyakit yang paling banyak dilaporkan adalah kanser.
“Dan dari apa yang saya dengar, ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat pelarian adalah ubat lama, yang tidak digunakan lagi. Saya bukan katakan ubat-ubat itu tidak bagus tetapi ada ubat-ubatan baru yang dikeluarkan.”
Pertemuan Faizal dengan kanak-kanak Palestin di situ, menyedarkannya betapa bijaknya mereka, cuma malangnya, mereka tidak diberikan peluang pendidikan untuk berkembang. Atas sebab itu, dia merancang untuk menubuhkan sebuah pusat pendidikan dimana kanak-kanak ini akan diajar Bahasa Inggeris dan komputer, agar mereka celik IT. Untuk merealisasikan impiannya, dia akan menyumbang wang yang diterima dari persembahannya.
Bagi mereka di luar sana yang ingin membantu, Faizal mencadangkan supaya menyertai program anak angkat Palestin anjuran Aqsa Syarif. Dengan membayar RM170 sebulan, mereka sudah boleh menyara seorang kanak-kanak.
“Saya bercadang mengadakan kempen ini dikalangan selebriti untuk mendapatkan mereka mengambil anak angkat Palestin. RM176 sebulan bukanlah satu jumlah yang besar,” ujarnya.
source : aqsa syarif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment